29 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diyakini mampu menyelesaikan isu kartel daging import haram dan diragui statusnya dengan baik.
Keyakinan itu dizahirkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut berharap masyarakat dapat memberikan sokongan kepada pihak berkuasa dalam menangani isu terbabit.
Beliau juga percaya bahawa dengan sokongan dan doa rakyat, isu terbabit akan menemui jalan penyelesaian tidak lama lagi.
“Insya-Allah, saya yakin isu terbabit akan ditangani sebaiknya oleh KPDNHEP.
“Dengan sokongan dan doa rakyat Malaysia, isu terbabit akan menemui jalan penyelesaian,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.
Zulkifli juga mengesyorkan orang ramai supaya memuat naik aplikasi Verify Halal di App Store bagi pengguna iOS dan Google Play bagi pengguna Android untuk memeriksa status halal produk, sama ada dengan mengimbas kod bar, menaip maklumat produk ataupun melakukan pencarian mengikut produk, jenama, syarikat dan negara.
Semalam, beliau memberitahu, kerajaan akan mengumumkan keputusan muktamad sama ada perlu atau tidak ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu kartel daging lembu import haram dalam masa terdekat.
Pelbagai pihak termasuk Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan menubuhkan pasukan siasatan khas berhubung isu kartel import daging menggunakan logo halal palsu.
Malah, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta kerajaan mendedahkan nama syarikat dan jenama yang terbabit dalam skandal tersebut. – Oleh HAIKA KHAZI