29 DIS: Persidangan secara maya merupakan kaedah terbaik bagi memastikan mesyuarat UMNO bahagian di zon merah dapat dijalankan secara lancar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kaedah itu akan dilaksanakan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Diperketatkan (PKPD).
“Apa yang kita harapkan ialah persidangan yang sebahagian menggunakan maya ini hendaklah dijalankan dengan kaedah yang betul selain daripada untuk memastikan bahawa 764 mesyuarat di seluruh Malaysia berjalan dengan lancar.
“Ini adalah kali pertama kita membenarkan persidangan secara maya terutama di kawasan zon merah, di kawasan PKP, PKPB dan PKPD dan ini adalah kali pertama,” katanya seperti dipetik daripada laporan UMNO-Online.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Taklimat Bersama Setiausaha UMNO Negeri dan Bahagian di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.
Sebanyak 191 UMNO bahagian di seluruh negara mengadakan mesyuarat secara serentak pada 3 Januari depan manakala Wanita, Pemuda dan Puteri pada 2 dan 3 Januari.