29 DIS: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) buka peluang kepada 1,000 graduan muda untuk mendapat pendedahan kepada industri binaan menerusi Skim MyJob@WilayahPrihatin.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu juga bakal membabitkan kerjasama lebih 30 pemaju di Wilayah Persekutuan.
“Insya-Allah kira kira 1,000 atau lebih graduan muda dijangka dapat pendedahan kepada industri binaan di bawah skim MyJob@WilayahPrihatin dengan kerjasama lebih 30 pemaju di Wilayah Persekutuan,” katanya menerusi ciapan Twitter, hari ini.
Inisiatif MYJob@Wilayah yang dilancarkan pada 15 Julai lalu adalah antara agenda terkandung dalam Wilayah Prihatin, menjana ratusan peluang pekerjaan, sekali gus memberi manfaat kepada warga kota yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan kerana pandemik COVID-19.
Sebelum ini, kira-kira 500 kekosongan jawatan Pekerja Sambilan Harian (PSH) ditawarkan di pelbagai jabatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meliputi perkhidmatan, pembinaan, penyelenggaraan, pembersihan, pembuatan dan pembungkusan.
Usaha itu sekali gus memberi peluang kepada orang ramai termasuk gelandangan mengubah status kehidupan dan kembali menyertai masyarakat selepas ditawarkan pekerjaan khusus sejurus tamat tempoh pemulihan.
Annuar berkata, pendekatan berkenaan selaras dengan inisiatif Wilayah Cakna dalam agenda Wilayah Prihatin yang diperkenalkan kementeriannya bagi membantu dan meringankan beban golongan terkesan akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Oleh HAIKA KHAZI