29 DIS : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan pelan tindakan khusus dan akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kasta Diraja Malaysia (JKDM) dalam menangani isu daging seludup.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, fokus perbincangan tersebut bertujuan menyelaras tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing, langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani isu ini, serta Pelan Tindakan Bersepadu berhubung pengimportan dan produk daging.
“Pelan tindakan itu akan turut menyentuh isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pengedar, serta memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pengimportan dan pengedaran.
“Selain itu, perbincangan meja bulat juga akan diadakan antara pengimport dan pengedar daging serta produk daging, dengan KPDNHEP, MAQIS dan JKDM pada 11 Jan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Jakim juga menggalakkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui skim Logistik (Pergudangan) dan mensyaratkan pemegang sijil mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang telah dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan).
Abdul Aziz berkata Jakim menerusi pelan tindakan itu juga akan mempromosikan Badan Pensijilan dan Logo Halal Luar Negara yang diiktirafnya, dan sehingga hari ini, 84 badan pensijilan halal luar negara di 46 buah negara telah diiktiraf.
Dengan ini, pengguna boleh mengenal pasti logo-logo halal luar negara yang diiktiraf Jakim pada label bungkusan produk import yang dijual di pasaran dan pengimport mudah mengenal pasti produk yang ingin diimport masuk ke Malaysia bagi mengelak kerugian dan keraguan,kata lagi.
“Dalam pada itu, lawatan ke rumah sembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan bagi memastikan isu daging haram tidak berterusan.
”SOP terbaru dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari depan,” katanya dan menambah pihaknya berharap industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan,” ujarnya.