29 DIS : Pengecualian cukai jualan untuk kereta penumpang membabitkan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU) dilanjutkan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun akan datang.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, langkah dilaksanakan dalam usaha untuk memacu momentum perkembangan sektor automotif.
“Ia membabitkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan yang dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
“Bagi CBU import baharu dan CBU import terpakai, pengecualian 50 peratus cukai jualan dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk MPV dan SUV. Pengecualian ini akan berkuatkuasa dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awal Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi kereta penumpang CKD dan 50 peratus untuk model CBU bermula 15 Jun hingga 31 Disember 2020, semasa membentangkan pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Berikutan pengumuman tersebut, industri automotif tempatan mencatatkan momentum positif apabila merekodkan pertumbuhan jualan keseluruhan industri (TIV) kukuh pada suku ketiga mengatasi rekod yang dicatatkan pada suku sama untuk tempoh tiga tahun lalu.