29 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) dan kuartersnya mula esok hingga 12 Januari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 24 Disember lalu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan sebanyak 1,490 saringan terhadap tahanan dan daripada jumlah itu, 50 didapati positif COVID-19.
“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan untuk mengawal kluster sedia ada dan menghalang penularan kepada banduan lain, kakitangan, ahli keluarga serta komuniti di luar KEMTA,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 40,152 pemeriksaan semalam bagi memantau dan
menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ismail Sabri menambah, sebanyak 2,805 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,136 anggota telah membuat pemantauan di 3,401 pasar raya, 4,567 restoran serta 1,807 penjaja, 1,402 kilang, 3,205 bank dan 611 pejabat kerajaan.
Menurut beliau, turut dipantau, sebanyak 901 terminal pengangkutan darat, 232 terminal pengangkutan air serta 83 terminal pengangkutan udara.
“Semalam, PDRM telah menahan 142 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dan kesemuanya telah dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (78), tidak memakai pelitup muka (53), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (9) dan lain-lain (2),” jelasnya.
Berhubung Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga buah kenderaan darat. – Oleh HUSSAINI AMRAN