29 DIS : 15 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bahru yang dikenal pasti kontak rapat dengan seorang tahanan yang disahkan positif Covid-19 dari Selayang, Selangor diarahkan untuk menjalani perintah kuarantin di rumah masing-masing.
15 anggota polis itu termasuk seorang pegawai sudah menjalani ujian saringan Covid-19 pada 25 Dis lalu dan didapati negatif dari jangkitan virus tersebut.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Pian, ujian swab kedua telah dilakukan terhadap kesemua anggota polis tersebut dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat.
“Kesemua mereka sudah menjalani kuarantin di rumah sebaik sahaja dikesan menjadi kontak rapat kepada tahanan terbabit.
“Kita berharap keputusan yang bakal keluar adalah negatif dan tiada anggota yang dijangkiti di dalam pasukan,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) kira-kira 1,000 individu di negeri itu menjalani ujian saringan Covid-19 di klinik kesihatan dan hospital semalam.
Mereka terdiri daripada individu yang balik dari luar negara, kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19 serta yang hadir secara sukarela membuat ujian.