29 DIS: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) bersikap lebih peka dengan isu jalan berlubang yang dihadapi oleh pengguna jalan raya di seluruh negara.
Ahli Parlimen Rembau itu menjelaskan, niatnya memuat naik insiden beliau jatuh basikal akibat jalan berlubang dalam Twitter adalah untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya yang lain.
Namun, kata beliau, perkara itu nampaknya mendapat perhatian JKR.
“Saya berterima kasih kepada JKR kerana peka dengan isu ini, tetapi janganlah hanya disebabkan saya menteri, baru nak ambil berat.
“Tetapi yang penting, kalau sudah berlubang, janganlah berhari-hari atau kena tunggu terlalu lama untuk turap semula,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook Transformasi Bersama KJ tengah malam tadi.
Khairy menambah, insiden itu mungkin boleh dielakkan sekiranya lubang pada jalan tersebut dapat dilihat.
“Tetapi saya yang berbasikal, dengan kelajuan maksimum 40 kilometer sejam pun tak nampak. Apatah lagi penunggang motosikal?
“Jadi, saya ambil pandangan positif maklum balas pelbagai pihak yang ingin saya kemalangan ketika melalui kawasan mereka supaya tindakan segera dapat diambil,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan JKR bahawa masalah jalan berlubang merupakan isu pokok yang memerlukan penyelesaian segera kerana ia dekat di hati rakyat.
Khairy turut memaklumkan bahawa beliau telah keluar dari hospital malam tadi.
Akaun media sosial JKR dan JKR Kuala Langat menjadi sasaran netizen melepaskan geram berhubung isu jalan rosak sejak semalam.
Sebelum itu, JKR Kuala Langat menerusi Twitter meminta maaf kepada Khairy di atas masalah jalan berlubang yang menyebabkan beliau mengalami kemalangan kecil semasa menunggang basikal.
Difahamkan, kejadian berlaku berhampiran Kampung Sri Cheeding, Banting Selangor kira-kira jam 11 pagi Ahad lalu. – Oleh HUSSAINI AMRAN