30 DIS: Jika semalam paip pecah menjadi punca gangguan bekalan air melibatkan 130 lokasi di Selangor, hari ini paip putus pula yang menyebabkan masalah serupa berlaku.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, gangguan bekalan air yang terbaharu itu melibatkan 43 lokasi di Petaling dan 20 lokasi di Kuala Lumpur.
Menurut Air Selangor, paip terputus akibat tanah runtuh di Damansara Utama dan kerja-kerja kecemasan sedang giat dijalankan sejak malam tadi dan dijangka siap sepenuhnya pada jam 6 pagi esok.
“Para pengguna akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat selepas kerja pembaikan siap dan pemulihan sepenuhnya untuk kawasan terjejas pada jam 6 petang, 1 Januari ini,” jelas Air Selangor dalam kenyataan media, hari ini.
Air Selangor turut menyediakan bantuan bekalan air dengan menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
Syarikat itu menasihat pengguna untuk mendapatkan bantuan bekalan air alternatif melalui pusat khidmat setempat (PKS) yang disediakan mulai jam 8 pagi tadi.
“Air Selangor menasihatkan para pengguna untuk mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki dan PKS yang disediakan,” katanya.
Air Selangor juga amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutamanya semasa peningkatan kes COVID-19 dan pelaksanaan PKPB dengan mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas. – Oleh HUSSAINI AMRAN