30 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pemandu kereta jenis Perodua Kancil yang memandu melawan arus di Kilometer 1, Jalan Banting-Jugra semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalarifin Aman Shah berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 11.45 malam susulan tular satu rakaman video dalam media sosial.
“Berdasarkan rakaman itu, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang lelaki keluar dari arah Jalan Bandaran menghala ke Jugra.
“Kereta terbabit yang berada di lorong kanan telah masuk ke laluan bertentangan sehingga simpang lampu isyarat Jalan Sungai Nangka,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, Kamalarifin memberitahu, hasil maklumat yang diperolehi, pihaknya telah mengesan rumah pemilik kenderaan terbabit dan kereta tersebut berada di luar pagar rumah.
“Walau bagaimanapun, tiada penghuni di rumah berkenaan dan usaha mengesan pemandu tersebut giat dilakukan.
“Polis meminta saksi bebas yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil salurkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Masrol Mohd Din di talian 0111-8539115,” katanya.
Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.