30 DIS : Kementerian Hal Ehwal Dalaman Negeri Singapura (MHA) mengesahkan menahan seorang rakyat Singapura yang mengaku menjadi ejen perisikan China di sebuah mahkamah persekutuan di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Dickson Yeo, warganegara Singapura tersebut ditahan oleh Jabatan keselamatan Dalam Negeri (ISD) sebaik dia pulang ke negara tersebut.
Yeo turut mendedahkan kepada penyiasat AS bahawa tugasan risikannya sebelum ini juga menyasarkan beberapa negara lain.
Menurut MHA dalam satu kenyataan, ISD akan menyoal siasat Yeo untuk mencari bukti sama ada beliau terlibat dalam aktiviti yang boleh memudaratkan keselamatan Singapura.
Kementerian itu juga menegaskan bahawa republik tersebut tidak akan membenarkan warganegaranya dipengaruhi unsur-unsur subversif atau dipergunakan mana-mana kuasa asing bagi tujuan yang boleh memudaratkan keselamatan dan kepentingan Singapura.
Kenyataan itu juga menegaskan, kerajaan Singapura memandang serius tindakan mana-mana rakyatnya yang mempunyai hubungan rahsia dengan pemerintah di negara asing dalam kegiatan pengintipan atau aktiviti subversif atas arahan kuasa asing dan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang negara.
MHA juga menyatakan bahawa kementerian itu tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai perkara tersebut kerana siasatan sedang dijalankan.