31 DIS: Sudah tiba masanya parti-parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan persengketaan antara satu sama lain dan menolak retorik politik demi kesejahteraan rakyat dan negara, demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan bersempena tahun baharu 2021 menerusi facebook rasminya.
Justeru, beliau menjemput kepimpinan setiap parti mengadakan perbincangan bersama dalam usaha memikirkan pendekatan terbaik bagi memacu ekonomi, mencipta pekerjaan, memeriahkan landskap perniagaan serta mengurangkan kos sara hidup di samping membantu rakyat menghadapi tekanan kewangan.
Katanya lagi, ketika negara menghadapi pandemik COVID-19, kepimpinan sejati yang rakyat mahukan adalah memberi fokus kepada kebajikan mereka serta kepentingan negara.
“Sudah sampai masanya kita abaikan retorik politik, sejukkan keadaan kerana parti politik dalam kerajaan tidak seharusnya ada permusuhan. Tiada pemimpin yang harus menjadi seteru kita dan demi kemajuan, kita perlu berhenti bersengketa sesama kita.
“Sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN), izinkan saya untuk menjemput parti-parti politik dan kempimpinan untuk mengadakan perbincangan bagi buktikan kepada rakyat tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Orang Asli sekalipun, kita semua mampu untuk mengangkat politik matang dan meletakkan keutamaan kepada negara yang kian merasai impak sebuah pandemik.
“Di dalam politik, tiada yang pasti kerana politik adalah pendekatan yang dicipta untuk melindungi dan memenuhi keperluan rakyat dan dalam keadaan luar biasa ini, pendekatan dan persetujuan yang luar biasa juga perlu dicapai. Pintu UMNO sentiasa terbuka untuk kerjasama demi kebaikan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang merupakan Presiden BN memberitahu tuduhan UMNO sebuah parti yang gila kuasa sanggup bekerjasama dengan Kerajaan PN adalah tidak benar kerana parti itu hanya berkhidmat dengan meletakkan institusi beraja, negara dan rakyat sebagai kepentingan utama.
“Hayat Pakatan Harapan (PH) tidak lama akibat kesilapan mereka sendiri yang terlalu mahukan kuasa dan saling tikam menikam sehingga rakyat terabai dan dalam waktu sama ancaman COVID-19 kian memuncak. Ketika itu, UMNO memutuskan untuk berkhidmat dengan meletakkan kesejahteraan rakyat.
“Sebagai presiden, parti kebimbangan saya hanyalah untuk rakyat dan saya hanya ingin memastikan UMNO memenuhi kehendak institusi beraja, negara dan rakyat,”katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan selamat tahun baharu kepada seluruh rakyat Malaysia dan memberi jaminan segala usaha menjamin kebajikan rakyat akan sentiasa menjadi keprihatinan UMNO. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH