31 DIS: Komitmen Bank Kerjasama Rakyat Malaysa Bhd (Bank Rakyat) untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi ahli, pelanggannya dan negara semakin teguh menerusi pelancaran visi dan misinya yang baharu.
Visi baharu Bank Rakyat adalah bagi menjadi ‘Bank Koperasi Islam Progresif No.1 Malaysia’ manakala misinya adalah ‘Meningkatkan kesejahteraan ekonomi ahli, pelanggan dan negara kami’.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, visi dan misi baru itu adalah salah satu inisiatif jangka panjang bank untuk memperkukuhkan kedudukannya dan kekal relevan dengan keperluan semasa yang memerlukan setiap organisasi untuk menjadi lebih inovatif dan dinamik untuk maju.
“Saya juga berpendapat bahawa misi baharu ini adalah yang terbaik dan juga seiring dengan mandat Bank Rakyat untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi para ahli dan pelanggannya dengan memberikan penyelesaian perbankan yang berkesan serta menawarkan nilai tambah, kesan positif kepada masyarakat dan pihak berkepentingan,” katanya semasa majlis pelancaran visi dan misi baharu bank tersebut yang diadakan secara maya.
Menurut beliau, visi dan misi baharu Bank Rakyat itu juga akan memastikan kelangsungan jaminan akses kewangan 100 peratus patuh syariah kepada usahawan, koperasi, industri kecil dan sederhana (IKS) serta syarikat perniagaan yang memerlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka, terutamanya dalam persekitaran ekonomi mencabar susulan daripada penularan COVID-19.
Wan Junaidi yakin Bank Rakyat akan terus memperkasakan mandat kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat akses perbankan yang menyeluruh terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Matlamat Bank Rakyat untuk menjadi Bank Koperasi Islam yang progresif juga adalah sejajar dengan aspirasi kementerian untuk menghidupkan semula sektor koperasi dan keusahawanan melalui spektrum pendigitalan, inovasi dan teknologi, ia amat penting bagi membantu sektor ini pulih dalam persekitaran pandemik COVID-19,” jelasnya.
Pada majlis sama, Wan Junaidi turut mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar sebagai Pengerusi Bank Rakyat selama dua tahun berkuat kuasa 1 Januari, 2021.
Beliau sebelum ini dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Bank Rakyat pada 28 Julai, 2020.
Abdul Rani berkata selepas pelancaran visi dan misi itu, bank itu dijangka akan memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu awal tahun depan untuk menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada pelanggannya setelah dana BR Care bernilai RM300 juta telah dilanggan sepenuhnya.