31 DIS: Sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian letupan dan tembakan di lapangan terbang Aden di Yaman, semalam semasa pesawat dari Arab Saudi yang membawa menteri-menteri Kabinet yang baharu mendarat.
Memetik laporan The Independent, Menteri Kesihatan Yaman, Qasem Buhaibuh berkata, serangan itu turut menyebabkan 110 mangsa cedera.
Beliau juga menjangka angka kematian mungkin meningkat kerana kecederaan yang dialami mangsa agak parah.
Seorang pegawai kesihatan kanan di Aden, Salem Al-Shabhi memberitahu, sebahagian besar daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengesahkan seorang kakitangannya terkorban, tiga cedera dan dua lagi tidak dapat dikesan.
Letupan yang pertama dapat dirakam oleh stesen Al-Hadath TV yang menyiarkan kepulan asap keluar dari terminal lapangan terbang sebaik sahaja pegawai-pegawai kerajaan turun dari pesawat.
Beratus-ratus individu termasuk pasukan keselamatan dan pegawai lari bertempiaran menyelamatkan diri setelah letupan berlaku.
Tembakan dan letupan kecil kedengaran selepas itu dan beberapa media melaporkan terminal tersebut turut diserang dengan mortar dan dron.
Anggota-anggota Kabinet Yaman termasuk Perdana Menteri, Maeen Abdulmalik telah dibawa ke istana Presiden dan keadaannya selamat.
“Kami dan anggota-anggota Kabinet berada di ibu negara sementara di Aden dan semua orang dalam keadaan selamat.
“Serangan keganasan oleh pengecut yang menyasarkan lapangan terbang Aden ini adalah sebagai daripada peperangan terhadap Yaman dan rakyatnya,” katanya dalam ciapan Twitter.
Menteri Belia dan Sukan Yaman, Hamza al-Kamaly berkata, beberapa menteri termasuk Timbalan Menteri Pengangkutan cedera.
Hamza dan Menteri Luar Yaman, Ahmed Awad Mubarak mendakwa, pemberontak Houthi dipercayai menjadi dalang serangan tersebut.
Serangan berlaku ketika Kabinet yang baru dibentuk pulang ke Yaman selepas memeterai perjanjian yang menyatukan kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi dengan puak pemisah di selatan negara itu, sekali gus menampatkan konflik yang menghancurkan Yaman.
Majlis Peralihan Selatan (STC) mahu mendapatkan kemerdekaan untuk selatan Yaman dan walaupun bersekutu dengan kerajaan menentang militan Houthi, telah mengisytiharkan pentadbiran sendiri di Aden awal tahun ini.
Pertempuran tercetus lagi selepas itu sehingga menyukarkan usaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan gencatan senjata.
Rombakan Kabinet merupakan salah satu langkah dalam usaha menamatkan konfik.