31 DIS: Mana-mana pihak tidak perlu meminta PAS memilih sama ada hendak bersama Muafakat Nasional (MN) atau sebaliknya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini adalah kerana PAS adalah antara watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah.
Beliau berkata, PAS juga berpandangan MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan di dalam negara ini.
“PAS berpegang teguh dengan Piagam MN yang dimeterai antara UMNO dan PAS pada 14 September 2019 yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
“PAS turut mempertegaskan betapa MN perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia amnya secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan negara demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahupun anutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, komitmen PAS dalam menjayakan Agenda Besar MN, adalah jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik.
Katanya, tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk UMNO daripada kekal bersama Barisan Nasional (BN) mahupun untuk PAS dari menyertai mana-mana gabungan atau kerjasama politik.
“Apa yang penting adalah gabungan UMNO dan PAS boleh malah perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan suatu persefahaman yang jitu khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain.
“PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati, bukan sebaliknya,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI