31 DIS: Siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati suspek utama kes menyunting lirik lagu kebangsaan Indonesia seperti tular di media sosial dan bertujuan menghina republik terbabit adalah rakyat negara berkenaan sendiri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pasukan khas yang dituhuhkan bagi menyiasat kes tersebut sudah diterbangkan ke Sabah untuk membantu menjejaki suspek terbabit.
“Hasil siasatan juga mendapati video berkenaan bukan dibuat di Malaysia, sebaliknya di Indonesia.
“Maklumat ini kita diperoleh hasil soal siasat terhadap seorang buruh warga Indonesia berusia lingkungan 40-an di Sabah yang juga salah seorang suspek kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata suspek berkenaan ditahan di Sabah, pada Isnin lalu dan polis menemui petunjuk baharu dalam penyiasatan kes berkenaan.
“PDRM juga dapat petunjuk baharu bahawa pelakunya dikatakan berasal dari negara seberang (Indonesia) dan kami sedang menyoal siasat untuk mendapatkan maklumat lanjut pengakuannya siapa yang menyunting video itu,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, Bukit Aman juga berkongsi maklumat diperolehi dengan Polisi Republik Indonesia (POLRI) kerana pihak berkuasa negara memandang serius tentang perbuatan berkenaan dan suspek utama akan diketahui dalam masa terdekat.
“Dalam kes terbaharu ini, ada manusia durjana yang tidak bertanggungjaawab dan bermotif jahat telah memperlekehkan lagu kebangsaan Indonesia Raya.
“Parodi ini menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia dan saya memberi jaminan bahawa satu tindakan drastik telah diambil oleh Jabatan Siasatan Jenayah iaitu menubuhkan satu pasukan khas telah diterbangkan ke Sabah pada semalam untuk menjejaki pelaku-pelaku ini,” katanya.
Abdul Hamid menegaskan, sebarang perbuatan atau tindakan yang mengaibkan kehormatan sesebuah negara itu merupakan kesalahan yang amat berat.
“Insya-Allah apabila tertangkapnya suspek, kita akan adili dan mendakwanya di mahkamah untuk menerima hukuman setimpalnya.
“Saya memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak meneruskan aktiviti terkutuk ini dan (perbuatan) yang menimbulkan perasaan sakit hati dalam kalangan rakyat negara jiran kita hentikan,” katanya.
Baru-baru ini, satu video dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, disunting bagi tujuan menghina Indonesia.
Video di ruang komen di YouTube berkenaan dipadamkan, namun video itu sempat dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan