Jual 220154 kereta, Perodua lepasi sasaran awal 2020
2 JAN: Perodua mencatatkan jualan sebanyak 220,154 unit kenderaan sepanjang tahun lalu, mengatasi sasaran awal iaitu 210,000 unit,
Perkembangan memberangsangkan itu didorong oleh permintaan tinggi pengguna memanfaatkan pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikatnya telah mengeluarkan sebanyak 220,968 unit kenderaan tahun lalu.
Walau bagaimanapun, katanya, Perodua terpaksa menghentikan pengeluaran pada Mac hingga Mei 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan COVID-19.
“Namun, langkah pengecualian cukai jualan pada Jun 2020 berjaya menarik minat pembeli dan meneruskan kelangsungan pengeluar kenderaan serta ekosistem automotif tempatan.
“Perodua juga mencapai detik sejuta Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pada Nov, 2020 — tepat dua tahun selepas mencatat detik setengah juta yang mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pengeluar terbesar EEV di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyifatkan pencapaian jualan yang lebih baik daripada jangkaan awal itu dapat memberi kesan positif secara langsung terhadap ekosistem automotif Malaysia dengan membantu para pembekal dan pengedar menghadapi cabaran pada 2020.
“Kami mengharapkan tahun 2021 yang lebih baik kerana terdapat petunjuk positif bahawa pandemik COVID-19 dapat diatasi dengan vaksin yang baharu dikeluarkan. Selain itu, kami akan mengumumkan angka sasaran bagi 2021 dalam masa terdekat ini,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut memberi komitmen Perodua untuk terus memenuhi tempahan sedia ada dan berusaha mencapai jumlah jualan lebih tinggi tahun ini.