2 JAN: Ahli-ahli UMNO perlu berusaha memperkuatkan parti kerana nasib rakyat akan terbela apabila UMNO kuat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mereka juga seharusnya mengutamakan perjuangan parti dan bukannya kepentingan diri.
“Kepercayaan harus berjalan dua hala. Keyakinan dalam perjuangan adalah faktor kekuatan. Tidak ada jalan singkat dalam perjuangan, semuanya melalui liku-liku kesukaran,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah itu berkata demikian dalam perutusan sempena mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang berlangsung bermula semalam hingga esok.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpesan, ahli-ahli UMNO juga jangan berjuang mengikut musim atau sekadar mengikut pihak lain.
“Pelajarilah ilmu politik, politik ada budayanya, politik ada naik turunnya, politik ada susah senangnya, politik ada kala kita kena mengalah untuk mencapai kemenangan. Selamat bersidang,” jelasnya.