3 JAN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 434 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 422 individu dikompaun manakala 12 individu pula direman.
“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (153), aktiviti pusat hiburan (149), tidak memakai pelitup muka (60), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan(68), dan lain-lain (4).
“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan. Kawalan Sempadan Negara,”katanya katanya menerusi kenyataan media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong serta merampas lima buah kenderaan darat.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 13, 267 operasi sanitasi awam merangkumi 137 zon dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.
“Semalam, sebanyak 27 operasi sanitasi telah dilaksanakan 10 buah negeri dan 1 Wilayah Persekutuan iaitu Sabah (6 operasi), Melaka (5 operasi), Perak (2 operasi), Selangor (2 operasi), Pulau Pinang (4 operasi), Kelantan (2 operasi), Pahang (2 operasi), Johor (1 operasi), Terengganu (1 operasi), Sarawak (1 operasi dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 operasi), “katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 96,924 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 76 hotel dan 16 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 7,490 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 88,894 individu telah dibenarkan pulang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH