3 JAN: Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau tidak pernah berniat menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan akan tetap terus berjuang bersama UMNO.
Katanya, tidak semudah itu untuk beliau bertukar parti politik biarpun Tun Mahathir Mohamad merupakan kenalan baiknya.
“Tak semudah itu saya nak bertukar parti, walaupun saya ini kenalan baik Dr Mahathir, lagi pun dia rapat dengan saya dari dulu lagi.
“Saya berkongsi pentas bersama Dr Mahathir berkongsi pentas itu tidak bertentangan dengan dasar UMNO semata-mata yang hanya bermatlamat untuk mencari keadilan dalam kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak dalam UMNO supaya beliau keluar daripada UMNO berikutan tindakannya berada di pentas bersama Dr Mahathir, baru-baru ini.
Terdahulu, Ku Li merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Gua Musang, di Bukit Chekati, Kelantan, hari ini.