3 JAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan rasa kesal dengan cadangan pihak tertentu yang mahu melihat UMNO dan Dap menjalinkan kerjasama politik sejak kebelakangan ini dan membelakangkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang jelas menolak kerjasama dengan parti tersebut.
Menurutnya, amat malang sekali wujudnya usaha-usaha untuk merobohkan pendirian tersebut dan seharusnya ia ditolak oleh semua ahli UMNO bagi memastikan parti-parti Melayu dapat diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat dan negara.
‘’Jangan terikut-ikut sangat dengan rentak pihak tertentu sehingga ada pula suara dan cadangan untuk kita bekerjasama dengan musuh tradisi kita. Ini satu perkara yang amat kita kesalkan sama sekali.
“UMNO jangan berpecah belah. Ini ada seorang nak ke hulu, ada seorang nak ke hilir. Ada seorang nak duduk tengah-tengah. Apa nak jadi. Lepas itu nak bekerjasama pula dengan DAP apahal?
“Begitu bersungguh-sungguh kita nak jatuhkan Dap dan baru 22 bulan mereka tadbir negara pun sampai dah nak hancur jadinya, takkan kita sanggup pula nak duduk dengan DAP,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Rembau, Negeri Sembilan, hari ini.
Justeru itu, Mohamad menegaskan selagi dirinya menjawat Timbalan Presiden UMNO, beliau tidak akan mengizinkan kerjasama UMNO dan DAP terjalin.
‘’Saya tidak akan bersetuju, selagi saya Timbalan Presiden UMNO saya tidak akan bersetuju bekerjasama dengan DAP. Jangan kita berkompromi.
“Jangan kita terburu-buru, bak kata orang tua-tua berfikir mesti panjang, bertindak mesti bijak. Jangan kita pening-pening kepala. Apa yang ada hari ini kita perbaiki,’’ jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamad mengajak seluruh ahli parti agar tidak terbawa-bawa dengan cerita yang melalaikan sehingga menyebabkan parti terus berpecah, sebaliknya semua pihak perlu mengambil peranan masing-masing untuk terus memperkasakan parti.
Beliau berkata, apa yang penting jangan difikirkan hal yang berkaitan dengan pihak lain dan jalan terbaik adalah memnguatkan parti dengan ‘antibodi’ tersendiri supaya parti terus bergerak ke depan.
‘’Jangan kita terbawa-bawa dengan cerita yang kadang-kadang melalaikan kita dan menyebabkan kita berpecah-belah. Kalau ini tidak dikekang maka kekuatan yang nak bina ini akan jatuh berderai. Kita nak kalahkan DAP, kita nak jatuhkan kerajaan DAP, dah jatuh dah apa nak lagi.
‘’Bergaduh pulak balik dan saya pun tidak faham apa cerita kita ini. Jadi saya harap kita semua bina kekuatan. Apa yang penting sekarang ini bina kekuatan diri kita. Kita vaksin diri kita, bina kekuatan antibodi kita. Dalam politik pun begitu. Kita perkasakan parti kita dan jangan fikirkan pasal orang lain.
‘’Kalau kita pakai ‘face mask’ jaga penjarakan insya-Allah tidak akan terkena wabak penularan COVID-19 ini. Dalam politik pun begitu apa kita nak risaukan orang. Jangan risaukan orang lain, kita bina kekuatan sendiri dan tambah antibodi kita.
“Parti kita mesti diurus dengan baik dan kita yang sebelum ini tewas dalam PRU-14 berjaya kita bangkit semula. Tujuh kali pilihan raya kita menang dan Alhamdulillah teruskan bina kekuatan dan perbaiki mana kelemahan kita,” tegasnya.