4 JAN : Seramai 1,650 sukarelawan akan terbabit dengan task force yang ditubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk membantu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara, demikian kata Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurutnya, pasukan sukarelawan itu akan bergerak serta-merta untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas.
“Saya jangkakan seramai 1,650 sukarelawan akan terbabit dalam misi ini. Sukarelawan Task Force bantuan banjir ini dikumpulkan dari negeri yang tidak terkesan dengan bencana itu.
“Saya yakin jika kita ikhlas dalam menghulurkan bantuan ini, ia sedikit sebanyak memberi kelegaan dan mengubat kedukaan yang ditanggung saudara kita ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Ahmad Faizal lagi, Task Force bantuan banjir ini akan bekerjasama dengan agensi berkaitan serta pemimpin tempatan supaya skop bantuan tidak bertindih antara satu sama lain.
Beliau juga meminta semua pimpinan BERSATU di kawasan yang terjejas berusaha memberikan perhatian sepenuhnya dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir terbabit.