4 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud mulai esok hingga 18 Januari.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 31 Disember lalu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 207 saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 24 kes positif telah direkodkan.
“PKPD ini bagi memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan lapangan dijalankan serta bagi menyekat penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau turut mengumumkan PKPD Pusat Koreksional Jasin dan kuarters kakitangannya tamat hari ini seperti yang dijadualkan.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 466 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Daripada jumlah itu, 463 orang telah dikenakan kompaun manakala dua orang direman dan seorang dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (187), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (110), tidak memakai pelitup muka (90), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (62) dan lain-lain (17),” jelasnya.
Beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas enam kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN