5 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 11 kluster baharu yang telah dikesan hari ini melibatkan daerah di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr, Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster ialah sebanyak 548 kluster telah dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 306 kluster telah ditamatkan.
“Sehubungan itu, jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 242 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 53 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Perindustrian (200 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Desa (116 kes), dan Kluster Beringin (65 kes),” jelasnya menerusi satu kenyataan media harian Covid-19 hari ini.
Berkenaan kluster baharu pula, Noor Hisham berkata 11 kluster baharu tersebut ialah Kluster Jalan Playar dan Kluster Sri Suria, kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Petaling di Selangor.
“Kluster tempat kerja, Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih dan Kluster Bukit Angkat pula melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor.
“Di daerah Muar di Johor kita mengesan kluster tempat kerja, iaitu Kluster Parit Jamil dan di Sabah, Kluster Tombovo melibatkan daerah Putatan,” ujarnya.
Manakala di Kuala Lumpur, kluster tempat kerja, Kluster Tapak Bina Jalan Desa melibatkan daerah Lembah Pantai dan Kluster Jalan Raja pula melibatkan daerah Cheras, Titiwangsa, Kepong dan juga Lembah Pantai.
“Kluster Langit Selatan pula melibatkan daerah Kuantan di Pahang, Kluster Bah Sayap melibatkan daerah Miri di Sarawak, Kluster Mengkuang melibatkan daerah Marang dan juga Kuala Nerus,” katanya.