5 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kemungkinan besar terdapat penglibatan syarikat ternama dalam isu berhubung kegiatan kartel penyeludupan daging sejuk beku ke Malaysia.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata siasatan menyeluruh SPRM akan dilaksanakan bagi membuktikan pembabitan pihak tertentu dalam kes kartel daging itu.
“Sekiranya ia sudah melibatkan kartel seperti yang didakwa, kami percaya mesti ada ‘taikun’ atau syarikat ternama yang terlibat dalam perkara ini. SPRM akan siasat dan tiada sesiapa akan terlepas.
“Bagaimanapun, nama syarikat atau taikun yang dipercayai terlibat ini tidak dapat didedahkan kerana ia masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam satu program bual bicara yang disiarkan NTV7, hari ini.
Tambah beliau, nama syarikat tersebut masih tidak boleh lagi didedahkan berikutan kes masih dalam siasatan manakala dakwaan penglibatan dalam kartel atau berlakunya pengimportan daging secara haram itu juga hanya berdasarkan laporan dibuat oleh pihak media.
Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.