6 JAN: Laporan berita yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua Ahli Parlimen parti itu untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari ini adalah tidak benar sama sekali.
UMNO menjelaskan, berita mengenai arahan yang didakwa daripada Ahmad Zahid itu adalah palsu.
“Ibu pejabat Umno menyangkal berita yang disebarkan baru-baru ini,” kata UMNO dalam kenyataan ringkas, malam tadi.
Terdahulu, portal berita Suara.Tv melaporkan bahawa Ahmad Zahid mengarahkan semua Ahli Parlimen UMNO untuk meninggalkan kerajaan PN sebelum Februari bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secepat mungkin.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa mengeluarkan arahan berkenaan sewaktu perjumpaan bersama ketua bahagian UMNO di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.