7 JAN: Insiden rusuhan keganasan di bangunan Capitol, Washington DC semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya empat penyokong tegar Donald Trump terbunuh.
Memetik laporan media Amerika Syarikat (AS), Ketua Polis Washington DC, Robert Contee mengesahkan semua mangsa ditembak oleh anggota polis Capitol berpakaian preman.
“Ini kejadian yang tragis dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa,” katanya.
Beliau menambah, empat mangsa itu terdiri daripada dua wanita dan dua lelaki.
Walau bagaimanapun, Contee tidak memberikan butiran lanjut mengenai mangsa-mangsa yang maut.
Beliau memberitahu, sekurang-kurangnya 14 anggota polis cedera dan salah seorang daripada mereka parah.
Sekurang-kurangnya 52 orang ditahan dan 47 daripada mereka didapati melanggar perintah berkurung.
Polis turut menemukan sebutir bom buatan sendiri di Bangunan Jawatankuasa Demokrat dan sebutir lagi di Bangunan Jawatankuasa Republikan.
Selain itu, polis menjumpai senjata api dan bom api di dalam sebuah kenderaan di pekarangan Capitol.