7 JAN : Bapa kepada seorang suspek yang ditembak mati di Sungai Buloh baru-baru ini, ditahan polis atas tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap seorang wartawan akhbar tempatan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki tersebut ditangkap berikutan pihak polis menerima aduan daripada wartawan tersebut pada 28 Disember lalu.
“Mangsa membuat laporan mendakwa diugut bunuh oleh seorang lelaki melalui panggilan ke telefon bimbitnya ketika berada di kediamannya di Jalan Ipoh.
“Ekoran itu, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun ketika dia hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk diambil keterangan kelmarin.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan suspek untuk menghubungi mangsa.
“Hasil siasatan mendapati lelaki itu merupakan bapa kepada salah seorang suspek ditembak mati oleh polis di Sungai Buloh, 25 Disember lalu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan penulisan berita oleh mangsa yang didakwanya menyokong tindakan polis membanteras kes jenayah.
“Hasil semakan polis kemudiannya mendapati suspek adalah pemegang kad orang kelainan upaya (mental) dan tiada sebarang rekod jenayah lampau.
“Selepas selesai soal siasat suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya.