7 JAN: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah menolak permohonan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menubuhkan sebuah parti politik.
MUDA dalam kenyataan media hari ini berkata, keputusan itu dinyatakan oleh RoS dalam e-mel yang dihantar semalam.
“Penolakan ini dinyatakan selepas hampir empat bulan MUDA menghantar permohonan,” jelasnya.
MUDA turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah bagi mencabar keputusan RoS itu.
Sebelum ini, tercetus kontroversi apabila Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) membantah parti baharu oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bantahan itu disuarakan melalui surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bertarikh 18 Disember 2020 yang ditandatangani Setiausaha Agung Ikatan, Tengku Ahmad Mudzaffar Tengku Zaid.
Beliau berkata, penggunaan istilah ‘Ikatan’ pada nama penuh parti Muda tersebut adalah mengelirukan kerana menyerupai nama partinya. – Oleh HUSSAINI AMRAN