7 JAN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyokong penuh tindakan kerajaan membatal projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ini kerana kos pembinaan HSR kini meningkat berkali ganda berbanding cadangan asal sehingga amat mustahil untuk kerajaan memperolehi keuntungan daripada projek terbabit.
Malah, kata beliau lagi, HSR bukanlah satu projek yang penting, malah Malaysia boleh menunggu 10 hingga 20 tahun lagi untuk meneruskan pembinaannya.
“Ini kerana projek kereta api laju ini kena menjangkaui jarak perjalanan yang jauh barulah menguntungkan dan menjimatkan masa. Kalau setakat 230km dan masa boleh dijimatkan hanya kira-kira 15 minit dan membayar harga tiket yang mahal.
“Kos pembinaan HSR pula meningkat hampir RM80 bilion dan kerajaan pastinya tidak akan mendapat semula wang yang sudah dilaburkan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya sebentar tadi.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Kerajaan Malaysia dan Singapura membatalkan projek HSR pada 1 Januari lalu, selepas gagal mencapai kata putus susulan tempoh penangguhan yang berakhir 31 Disember lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama memaklumkan, berikutan penamatan perjanjian HSR itu, kedua-dua negara akur dan patuh kepada tanggungjawab masing-masing.- Oleh Haika Khazi