8 JAN: Semua parti tidak kira kerajaan dan pembangkang perlu melakukan gencatan politik dalam memastikan kebajikan rakyat khususnya mereka yang terjejas dengan banjir dapat dibantu sebaiknya dan amat memerlukan bantuan daripada pemimpin-pemimpin politik.
Pengerusi Abrar Care Malaysia (ACM), Roslan Md Esa berkata, seharusnya semua pihak harus berjiwa besar dan bertindak matang dalam isu membela dan menjaga kebajikan rakyat di samping bekerjasama dengan pelbagai pihak agar bantuan yang disumbangkan dapat disampaikan dengan mangsa dengan sebaiknya.
“Dalam keadaan susah ini bahang dan suhu politik kita kena turunkan, rakyat tengah susah sampai ada rumah yang hanyut menyebabkan mereka tiada tempat tinggal, seperti di Lanchang (Pahang), sampai ada terputus hubungan dan tiada bekalan makanan sehingga dua hari. Tidak wajar untuk kita cakap pasal soal politik. Ini masanya kita fokus bela dan bantu masyarakat.
“Saya nampak kita mesti (berfikiran) baharu dalam membela dan menjaga kebajikan rakyat dan bukan sahaja parti politik kerajaan dan pembangkang tetapi semua pihak perlu saling bantu membantu kerana ini merupakan insiatif yang baik dan kita kena sama-sama sokong.
“Sebagai contoh, kita lihat masjid-masjid sudah mula membuka kaunter memberi sumbangan barangan yang dilihat sangat proaktif membantu yang mungkin tidak dari segi fizikal tetapi dari segi barangan dan peralatan,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya jika menerima bantuan daripada parti politik, Roslan memberitahu pihaknya sentiasa mendapatkan kerjasama dari parti-partim yang mendukung Perikatan Nasional (PN) dan sehingga hari ini kerjasama masih utuh dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan.
Beliau yang juga Pengerusi Khidmat Malaysia Parlimen Bentong berkata sejak hujan lebat yang berterusan akhir ini, pihaknya sentiasa dalam keadaan bersedia kerana mempunyai pengalaman paras air naik dengan pantas yang mampu memberi ancaman kepada orang ramai.
“Kita juga hari ini akan melancarkan pasukan khas melibatkan PN yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan sebelum secara rasmi, dari sudut hubungan tiada masalah.
“Ini kerana kita memfokuskan penyatuan. Jadi, bila fokus penyatuan, politik bersifat kepentingan peribadi individu sempit ini, kita tak ambil peduli kerana memfokuskan benda yang lebih besar iaitu penyatuan ummah dan Islam,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH