8 JAN: Semua majikan digesa bertindak lebih proaktif dalam membendung penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan pekerja asing yang mereka gajikan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, tindakan perlu diambil susulan peningkatan kes positif COVID-19 yang telah mencecah lebih 125,000 kes di Malaysia.
Beliau juga menggesa semua majikan untuk melaporkan kepada Kementerian Kesihatan dengan segera sekiranya ada di antara pekerja asing yang digajikan mereka didapati positif COVID-19 selepas saringan dilakukan.
“Majikan juga perlu menyediakan pusat kuarantin untuk tujuan pengasingan pekerja asing mereka yang disahkan positif COVID-19.
“Selain itu, kos perbelanjaan perubatan serta penyaraan pekerja asing semasa tempoh pengasingan tersebut turut dibiayai oleh majikan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, M Saravanan menyarankan majikan melakukan ujian saringan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 9) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Tambah beliau, peraturan yang telah berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu dilaksanakan bagi membolehkan pengesanan awal pekerja asing yang positif COVID-19.
“Seterusnya mampu membendung penularan pandemik tersebut kepada rakan sekerja mereka yang lain,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH