9 JAN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu bertahan lebih lama biarpun mempunyai majoriti tipis jika semua pemimpin politik dan ahli Parlimen yang menyokongnya sentiasa bersatu padu, memberikan kerjasama dan tidak mencetuskan polemik sesama sendiri.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu perlu kerana kerajaan PN sekarang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat yang sedang dihimpit pelbagai masalah termasuk bencana banjir, ancaman Covid-19 dan kelembapan ekonomi.
“Ada yang kata kedudukan kerajaan yang mempunyai majoriti sangat tipis, memerlukan pilihan raya diadakan segera, walaupun Covid-19 dan ancaman banjir masih jadi isu utama bagi rakyat.
“Bagi saya, majoriti kecil tidak menjadi masalah besar sekiranya semua ahli parlimen tetap bersatu, bersepakat dan tidak timbulkan pelbagai polemik.
“Kolek kecil yang dinaiki penumpang tidak merbahaya, selagi mana penumpangnya berada dalam keadaan tenang dan tidak mengancam kestabilan kolek. Istiqamah dalam perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi bayangan bahawa parti itu mungkin menarik semula sokongan ahli Parlimennya kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, berikutan pelbagai ketegangan yang timbul antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sejak kebelakangan ini.
Berikutan itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dipengerusikan Ahmad Zahid pada Khamis lalu memutuskan usul untuk menamatkan hubungan dan kerjasama dengan BERSATU akan dibincangkan dan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada akhir bulan ini.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.