9 JAN: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan, tidak timbul soal PAS perlu memilih untuk bekerjasama dengan UMNO atau Bersatu buat masa ini.
Khairuddin yang juga Menteri Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, ini kerana PAS tetap komited untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti itu, menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Biarpun apa berlaku, Mohd Khairuddin menjelaskan PAS konsisten dengan pendirian untuk memperkasakan MN dan mempertahankan PN.
“Jadi tidak timbul soal PAS perlu memilih untuk bekerjasama dengan UMNO atau Bersatu buat masa ini, kerana PAS komited untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti itu, menerusi MN dan PN.
“Itu adalah ‘tagline’ yang digunakan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), memperkasakan MN dan mempertahankan PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan pimpinan PAS Pusat, Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Khairuddin menjelaskan mesyuarat bulanan hari ini tidak membincangkan mengenai keretakan hubungan di antara UMNO dan BERSATU kerana PAS enggan mencampuri urusan dalam kedua-dua parti itu.
“Kita tidak bincang mengenai pertelingkahan UMNO dan Bersatu. Ia hanya mesyuarat biasa saja. Mesyuarat bulanan, (bincang) laporan biasa setiap bulan. Isu antara UMNO dan Bersatu itu urusan dalaman mereka,” katanya lagi.
Khamis lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan bahawa usul memutuskan hubungan dengan BERSATU antara tiga perkara utama yang akan dibincangkan dan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 31 Januari ini.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, dalam satu kenyataan berkata dipetik sebagai, perkara berkenaan adalah antara usul yang dibangkitkan oleh perwakilan dalam mesyuarat perwakilan dan sayap di 189 bahagian UMNO seluruh negara yang berakhir pada 3 Januari lalu.
Berikutan itu, Mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan untuk membawa tiga usul utama untuk dimuktamadkan pada Perhimpunan Agung UMNO, pada 31 Januari ini seperti ditetapkan perlembagaan parti.
Usul pertama mempertahankan hubungan dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) yang dibina dalam tempoh 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang.
Kedua, memutuskan hubungan dengan BERSATU semasa menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) dan ketiga menggesa supaya PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat tertakluk kepada keadaan COVID-19.