10 JAN: Penduduk enam daerah di Johor perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran cuaca bahaya mulai hari ini hingga esok yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi pada jam 11 pagi tadi.
Berdasarkan makluman dalam laman Facebook agensi berkenaan, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru dijangka mengalami hujan sangat lebat yang berterusan.
Selain itu, dua lagi daerah di Johor iaitu Segamat dan Mersing diramalkan mengalami cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan.
Kawasan-kawasan yang diberi amaran cuaca waspada di mana hujan lebat melanda hingga 12 Januari adalah Tangkak dan Muar di Johor; Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang; Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah di Sarawak; Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat di Sabah serta Labuan. – Oleh HUSSAINI AMRAN