10 JAN: Kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang melegakan mangsa-mangsa banjir di situ.
Memetik laporan Bernama, beliau melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh di Temerloh dan PPS Sekolah Menengah Tunku Ampuan Afzan, Chenor di Maran.
Ketibaan Muhyiddin yang menaiki helikopter di SMK Seberang Temerloh pada jam 10 pagi disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam kunjungan selama 40 minit itu, mangsa-mangsa banjir dapat meluahkan keluh-kesah mereka secara terus kepada Perdana Menteri.
Selain beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir, Muhyiddin turut menyantuni warga emas dan menyampaikan sumbangan makanan kepada mereka.
Beliau juga mengikuti taklimat pengurusan bencana banjir di dua daerah terbabit.
Sementara itu, Wan Rosdy dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM11 juta untuk menyediakan keperluan harian mangsa banjir khususnya mereka yang ditempatkan PPS.
Menurut beliau, jumlah itu meliputi peruntukan tambahan RM8 juta yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Jumaat lalu dengan mengambil kira situasi banjir yang berlaku sekarang.
“Jumlah keseluruhan RM11 juta pada tahun ini ialah yang kedua tertinggi selepas bencana banjir besar pada 2014/2015 yang melibatkan kira-kira 100,000 mangsa, iaitu sebanyak RM57 juta.
“Peruntukan tambahan yang disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diharapkan dapat membantu mereka untuk terus menjaga kebajikan mangsa banjir,” katanya.
Wan Rosdy menambah, JKM juga telah membelanjakan kira-kira RM3.4 juta untuk operasi banjir kali ini dengan RM2.9 juta digunakan bagi membeli barang keperluan harian mangsa di PPS.