10 JAN: Semua individu yang menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 6 Januari lalu bersama Datuk Seri Mustapa Mohamed diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 serta-merta sebagai langkah keselamatan.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, kesemua ahli mesyuarat menitikberatkan langkah-langkah yang sewajarnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan
“Beliau telah menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada Rabu dan mesyuarat tersebut berjalan mengikut SOP yang betul dan teliti.
“Namun sebagai langkah pencegahan, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU serta semua yang hadir semasa mesyuarat tersebut diarahkan untuk membuat ujian saringan COVID-19 serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hari ini, Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) mengesahkan beliau positif COVID-19 setelah menerima keputusan ujian saringan malam tadi.
Wan Saiful menambah, seluruh pucuk pimpinan BERSATU mendoakan agar Mustapa dilindungi dan sembuh daripada penyakit itu.