11 JAN : Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, banjir di dua daerah di Terengganu telah pulih sepenuhnya apabila kesemua 17 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup secara berperingkat dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Menurut beliau, empat PPS terakhir di Kemaman dan Dungun telah ditutup secara rasmi pada pukul 2 petang tadi.
“Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan amaran angin kencang, laut bergelora dan air pasang besar hingga 14 Jan ini. Oleh itu, penduduk perlu sentiasa peka dengan sebarang perubahan cuaca di sekitar tempat tinggal mereka,”
“Penduduk di Terengganu perlu terus berwaspada kerana Monsun Timur Laut hanya akan berakhir pada Mac,” ujarnya.
Banjir gelombang pertama di Terengganu telah bermula pada 17 hingga 19 Nov manakala gelombang kedua bermula pada 23 Nov hingga 2 Dis lepas.
Gelombang ketiga banjir pula pada lewat malam 2 hingga 9 Dis disusuli gelombang keempat berlaku pada 17 Dis dan berakhir pada 23 Dis.