11 JAN: PAS belum memuktamadkan isu pembahagian kerusi dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) mahu pun Perikatan Nasional (PN) kerana tarikh sebenar pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), belum diumumkan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jumlah sebenar dan perubahan kerusi bakal ditandingi PAS akan diumumkan selepas tarikh PRU-15 diumumkan kelak.
“Pilihan raya tidak tahu lagi bila, tahu pilihan raya barulah kita dapat selesaikan, insya Allah bila tahu pilihan raya kita akan dapat tentukan (pembahagian kerusi).
“Perkara itu boleh berubah, saya tidak boleh beritahu sekarang, boleh adjust (ubah) lagi mana perlu, tukar tukar sini mana perlu, belum muktamad lagi, tetapi kita buat keputusan (untuk) serah (proses perundingan pembahagian kerusi) kepada (Pas) Pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Libat Urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama peladang di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan bahawa pelaksanaan PRU-15 dalam tempoh terdekat adalah amat tidak sesuai kerana negara sedang menghadapi penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir di beberapa negeri.
“Time (waktu) ini tidak wajar, masih ada (kes-kes berkaitan) COVID, banjir (pula) tidak tahu lagi hendak atasi, mangsa banjir pun tidak (dapat) selesai (masalah mereka) lagi, biar selesai semua (perkara ini) baru boleh kita fikir (untuk adakan) pilihan raya,” katanya lagi.