10 JAN: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengesahkan beliau positif COVID-19 sejak semalam.
Perkara itu dikongsikan menerusi kenyataan rasmi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyatakan, keputusan itu diterima hasil ujian saringan malam tadi.
“Beliau menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya pada pagi semalam.
“Datuk Seri Rina telah dimasukkan ke wad hospital Sungai Buloh pada jam 11 pagi hari ini untuk pihak hospital menjalankan pemantauan lanjut dan akan mematuhi segala garis panduan berkaitan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” kata kementerian itu.
Justeru itu, menerusi kenyataan sama, Rina memohon maaf di atas kesulitan dan keresahan yang timbul akibat perkara itu dan memohon agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan untuk semua yang terlibat.
“Beliau juga akan memastikan semasa ketiadaan beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan kerja-kerja kebajikan pembelaan serta pemerkasaan dan juga pembangunan untuk kumpulan sasar dan segala urusan pengoperasian kementerian akan tetap berjalan seperti biasa, ” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH