11 JAN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meneroka pasaran baharu bagi produk minyak sawit negara khususnya di Afrika dan Asia Barat.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pada masa yang sama, eksport ke pasaran-pasaran tradisi akan diperluaskan.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, kementeriannya perlu mengambil langkah berterusan bagi menangani langkah-langkah perlindungan seperti sekatan bukan tarif yang dikenakan oleh negara-negara pengimport.
“Di bawah Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Malaysia menyertai negara-negara pengeluar minyak sawit yang lain bagi menangani isu-isu yang dihadapi industri dan merangka strategi bagi menangani cabaran-cabaran tersebut,” jelasnya ketika berucap merasmikan Persidangan Maya Tinjauan dan Semakan (R&O) Ekonomi Minyak Sawit 2021 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khairuddin memberitahu, KPPK dan agensi-agensinya sedang giat mempromosi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam kalangan pekebun kecil.
Beliau menambah, langkah itu bertujuan memastikan pengeluaran minyak sawit yang mampan.
“Kerajaan berharap sijil tersebut akan melonjakkan industri sehingga ke standard global dan memperluaskan akses pasaran seiring dengan perubahan keutamaan pengguna,” jelasnya.
Mohd Khairuddin memberitahu, setakat 31 Disember lalu, sebanyak 5.2 juta hektar atau 88.25 peratus kawasan tanaman kelapa sawit telah menerima sijil MSPO.
Selain itu, katanya, sebanyak 427 kilang minyak sawit atau 94.47 peratus daripada 452 kilang telah dianugerahkan sijil MSPO.
“Pengeluaran mampan secara menyeluruh akan menjadikan lebih mudah untuk memperdagangkan minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa dan meningkatkan daya saingnya dalam jangka masa panjang,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN