12 JAN : Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), menyokong penuh tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu sehingga 26 Januari akan datang, demikian kata Presidennya, Profesor Datuk Dr M Subramaniam
Jelasnya menerusi satu kenyataan, langkah itu cukup wajar ketika petugas kesihatan dalam negara kini berdepan tekanan yang tinggi secara berterusan.
“Langkah segera perlu diambil bagi menangani masalah tenaga kerja dalam penjagaan kesihatan awam serta bagi memastikan standard penjagaan kesihatan dapat dikekalkan,
“Semua hospital awam di negara ini dibanjiri dengan kes COVID-19 dan pekerja kesihatan berada bawah tekanan yang kuat.
“KKM diminta untuk turut bekerjasama dengan pusat kesihatan swasta susulan daripada peningkatan pesakit COVID-19 di hospital kerajaan yang dilihat mampu menjejaskan sistem kesihatan dan pengurusan terhadap pesakit bukan COVID-19,” ujarnya.
Sementara itu, Subramaniam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan supaya pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara.
Katanya lagi, adalah sesuatu yang tidak mustahil Malaysia mampu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dengan lebih pantas, jika orang ramai komited mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan boleh memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, memasyhurkan ordinan penggunaan sumber manusia dan aset hospital swasta bagi membantu kerajaan membendung wabak COVID-19.
Menurutnya, kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan lebih inklusif daripada pihak swasta sepanjang tempoh darurat.