12 JAN: Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) yang terdiri daripada pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan untuk melengkapkan usaha memulihkan ekonomi Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, SEAC adalah usaha sukarela oleh anggota-anggota dilantik yang telah bersetuju untuk memberikan perkhidmatan mereka kepada negeri tersebut sebagai penasihat.
Menteri Kewangan Sabah itu memberitahu, idea SEAC dicetuskan ketika kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pucuk pimpinan.
“Sejak Oktober tahun lalu, majlis penasihat berkenaan tidak membuang masa dengan mengumpulkan kesemua anggotanya untuk mencari jalan penyelesaian untuk memulihkan ekonomi negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas SEAC di sini, semalam.
SEAC diketuai oleh Tan Sri David Chu Sui Kiong sebagai Pengerusi manakala Datuk Tan Kim Beng memegang jawatan Setiausaha.
Hajiji menambah, rancangan itu harus dilaksanakan selepas keadaan menjadi stabil pasca-COVID-19.
Sementara itu, beliau mengumumkan tindakan pembangunan negeri Sabah atau Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025) yang kini dalam peringkat akhir dan akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada masa yang terdekat ini.
“Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ akan melibatkan sektor swasta dan di sinilah kita melihat SEAC sebagai antara platform untuk membawa perubahan dan mengubah ekonomi Sabah,” jelasnya.