12 JAN: Pilihan raya tidak akan diadakan di negara ini sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa seiring dengan kehendak rakyat yang tidak mahu penularan COVID-19 menjadi tidak terkawal.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketetapan itu merangkumi pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).
Menurut Muhyiddin, pandemik COVID-19 merupakan punca utama beliau tidak menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan Parlimen walaupun terdapat pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan.
“Keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya semasa pandemik COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs.
“Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai ketua kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada jangkitan COVID-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam,” katanya dalam pengumuman khas darurat yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Beliau menambah, untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan di bawah suatu ordinan untuk menasihatkan Seri Paduka sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.
Perdana Menteri juga memberikan komitmen yang tegas bahawa PRU akan diadakan sebaik sahaja jawatankuasa khas bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan.
“Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian.
“Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah,” jelasnya.
Muhyiddin berpandangan, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengetepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.
“Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh darurat ini, badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan.
Tegasnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.
Selain itu, Muhyiddin memberitahu, aktiviti-aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa.
“Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.
“Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN