12 JAN: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau tidak akan bertanding mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Seperti yang dijelaskan oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, salah satu alasannya adalah usia yang lanjut.
“Bertanding lagi? Tak payahlah, saya sudah umur 95 tahun, nak berjalan pun tak berapa betul, takkkan nak suruh saya kena bertanding lagi, cukuplah,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan portal Herbee di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu akan mencapai usia 96 tahun pada 10 Julai ini.
Seorang lagi pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang akan memasuki usia 80 tahun pada 20 Februari ini.
Namun, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu belum mengumumkan sama ada akan bertanding dalam PRU-15 atau sebaliknya.