12 JAN : Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail dalam satu kenyataan mengumumkan, solat Jumaat di semua masjid dan surau dalam Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan kapasiti jemaah tidak melebihi 30 orang.
Menurut Mohd Ajib, ketetapan tersebut telah mendapat perkenaan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Manakala bagi solat fardu pula hanya dibenarkan dengan maksimum lima jemaah, yang terdiri daripada ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid.
“Laungan azan bagi solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa, namun semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan perlu ditangguhkan buat sementara waktu,” ujarnya menerusi kenyataan tersebut.
Katanya lagi, aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya boleh dilaksanakan secara dalam talian atau FB Live yang dibuat di kediaman penceramah dan dikongsikan kepada ahli kariah.
Beliau turut mengingatkan pengurusan masjid untuk mematuhi dan memastikan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan diikuti termasuk mewujudkan kaunter di pintu masuk untuk memeriksa suhu badan, sanitasi dan merekod kehadiran jemaah.
Selain itu, beliau mengingatkan pengurusan masjid untuk kerap melakukan sanitasi di ruang solat dan kawasan sekitar dan memastikan petugas mencukupi untuk mengawal jemaah dari segi pematuhan SOP.