13 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 253 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 252 orang telah dikompaun manakala seorang direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (115), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (88), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (23), aktiviti pusat hiburan (16) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (11),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tujuh kenderaan darat.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 38 operasi sanitasi awam dijalankan di seluruh negara semalam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau menambah, operasi tersebut meliputi 15 Zon Merah, 1 Zon Jingga, 6 Zon Kuning dan 6 Zon Hijau yang melibatkan 7 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan iaitu Sarawak (11 Operasi), Sabah (10 Operasi), Kelantan (7 Operasi), Pulau Pinang (4 Operasi), Pahang (1 Operasi), Kedah (1 Operasi), Perlis (1 Operasi), serta wilayah persekutuan Kuala Lumpur (2 operasi) dan Putrajaya (1 operasi).
Ismail Sabri berkata, penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia telah memeriksa 19 tapak binaan di seluruh negara semalam dan kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,350 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kesemua premis yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN