13 JAN: Pemulihan ekonomi 2020 memberi manfaat kepada pasaran buruh dengan penurunan ketara kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, laporan “Quarterly Labour Market Perspectives: Growth and Labour Market Recovery” bagi suku ketiga 2020 yang dihasilkan oleh kementeriannya dengan kerjasama Skim Insurans Pekerjaan (EIS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan prestasi ekonomi dan keadaan pasaran buruh pada suku pertama hingga suku ketiga mengikut Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan penempatan pekerjaan bergerak secara selari.
Menurut beliau, kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan pula menunjukkan pergerakan ke arah yang bertentangan dan aliran berbentuk rhombus itu menunjukkan tanda positif dalam aspek pemulihan ekonomi dan pasaran buruh.
“Intervensi dasar ke atas penawaran dan permintaan pasaran buruh telah menyumbang kepada pengekalan pekerjaan melalui pakej rangsangan PENJANA dan PRIHATIN seperti Program Subsidi Upah, Insentif Pengambilan Pekerja, Pengekalan Pekerjaan dan EIS Plus serta inisiatif Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).
“Intervensi ke atas permintaan pasaran buruh melalui perbelanjaan awam yang bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna secara langsung dan tidak langsung telah berjaya mengekal dan mencipta peluang pekerjaan di beberapa sektor ekonomi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Saravanan menambah, penambahbaikan dalam pasaran buruh ini dijangka mencapai momentum yang lebih baik dalam suku keempat 2020 manakala kadar pengangguran pada suku keempat 2020 diunjur pada kadar 4.69 peratus dan kehilangan pekerjaan dijangka mencecah 22,560.
Beliau memberitahu, walaupun maklumat pasaran buruh pada suku ketiga 2020 menunjukkan tanda-tanda pemulihan, masih terdapat ketidakpastian dan ketidakcekapan dalam pasaran buruh yang memerlukan intervensi khusus.
Saravanan turut menggariskan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian:
i.Golongan Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Juruteknik (PMET) adalah golongan mudah terjejas dalam mengekalkan pekerjaan kerana dilihat tidak ‘imun’ terhadap krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. Malah, kadar kehilangan pekerjaan untuk kategori PMET adalah yang tertinggi tetapi mempunyai kadar penempatan pekerjaan yang paling rendah berbanding kategori bukan PMET.
ii.Ketidakpadanan kelayakan pekerjaan kekal meluas dalam pasaran buruh. Kekosongan jawatan (permintaan pekerjaan) tertumpu kepada kategori bukan PMET yang mewakili 70 peratus daripada jumlah kekosongan pada sukuan ketiga, berbanding dengan 54 peratus pencari kerja yang berkelulusan tertiari yang lebih sesuai untuk mengisi kekosongan kategori PMET.
iii.Lebihan kekosongan jawatan dalam pasaran buruh. Pada bulan September, jumlah kekosongan pekerjaan telah meningkat dua kali ganda berbanding jumlah pencari kerja. Antara faktor yang mempengaruhi perkara ini ialah keutamaan pekerja untuk mendapatkan pekerjaan dengan kadar segera dan fleksibel terutama dalam bidang pekerjaan tidak formal, kadar tawaran gaji yang lebih rendah kepada pencari kerja PMET dan keutamaan lokasi dalam menerima tawaran kerja.
“Justeru, KSM akan terus memantau keadaan pasaran buruh di Malaysia dari semasa ke semasa. Selain itu, pihak kerajaan juga akan memberi perhatian kepada intervensi yang bersesuaian untuk meningkatkan pemulihan dan kecekapan pasaran buruh negara,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN