13 JAN: Ahli Dewan Negara perlu menjadi sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Khas Bebas yang bakal ditubuhkan bagi mengendali perjalanan darurat negara.
Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, kumpulan Ahli Dewan Negara adalah badan tertinggi institusi keparlimenan dan negara yang memiliki kepakaran dan pengalamannya.
“Kerajaan mengumumkan suatu Jawatankuasa Khas Bebas, dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan akan ditubuhkan bagi memperakukan jaminan pelaksanaan darurat adalah adil dan telus,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, Proklamasi Darurat tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga ada usaha mencelarukan negara serta keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati dan diterima semua pihak dengan baik.
“Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong untuk memerangi wabak COVID-19 ada kebijaksanaan hikmah demi kesejahteraan negara.
“Ia satu langkah yang berani, ada ketegasannya dan menepati pada kewajaran suasana yang difikirkan baik kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata masyarakat umum perlu memahami dan mengetahui antara perkara Proklamasi Darurat membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penyebaran wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini.
“Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga prihatin dengan aktiviti ekonomi, perlu terus berfungsi sepanjang tempoh darurat tertakluk pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Kebenaran melaksanakan aktiviti ekonomi sangat penting dalam usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi negara termasuk pihak yang terjejas teruk daripada segi perniagaan dan pekerjaan.
“Yang penting, jangan abaikan rakyat dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat dan kesihatan awam kembali pada paras normal,” katanya.