13 JAN : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam satu kenyataan hari ini membenarkan solat Jumaat dan fardu dilaksanakan di masjid, surau atau musalla di negeri tersebut namun ia perlu mengikuti prosedur operasi standard yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, arahan itu telah diperkenankan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk membenarkan solat berjemaah tetapi mengikuti sepenuhnya garis panduan PKPB.
“Di masjid bandar, mukim danjajahan, hanya 50 orang jemaah sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu penjarakan sosial satu meter.
“Manakala di surau pula, hanya 30 jemaah dibenarkan pada setiap waktu dan bagi musalla pula hanya 10 orang dibenarkan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
“Antara jemaah yang dibenarkan menunaikan solat di ketiga-tiga rumah ibadah umat Islam itu ialah pegawai masjid (Imam Tua, Imam Muda, Bilal dan Siak), Ahli Jawatankuasa Masjid dan anak-anak mukim terpilih sahaja.
“Biarpun solat berjemaah itu dibenarkan, namun semua kuliah agama dan kelas al-Quran di masjid, surau dan musalla ditangguhkan sehingga 26 Januari ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, bagi ahli jawatankuasa serta anak mukim yang berusia 70 tahun ke atas dan individu bergejala, batuk, selesema dan sakit tekak pula tidak dibenarkan hadir.
Tambahnya, seperti sebelum ini jemaah perlu membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk di rumah terlebih dahulu termasuk membuat saringan suhu perlu di mana ndividu mempunyai bacaan suhu lebih 37.4 darjah celsius tidak dibenarkan masuk ke masjid.
Semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan mesti dipatuhi dan tindakan akan dikenakan sekiranya jemaah gagal mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang PKPB dilaksanakan,ujarnya.
“Jemaah perlu memakai pelitup muka dan kehadiran direkodkan selain imam perlu memastikan solat diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan. Kebenaran pelaksanaan solat Jumaat tertakluk kepada kehadiran sekurang-kurangnya seorang anggota polis di setiap masjid,” jelas beliau lagi.